MAJLIS PELANTIKAN KETUA & PENOLONG KETUA TINGKATAN SESI 2025/2026

Majlis Pelantikan Ketua & Penolong Ketua Tingkatan Sesi 2025/2026: Memupuk Kepimpinan Murid


Pada 24 Mac 2026, SMK Orkid Desa telah mengadakan Majlis Pelantikan Ketua & Penolong Ketua Tingkatan bagi sesi persekolahan 2025/2026. Majlis ini bertujuan untuk mengiktiraf murid-murid yang dipilih sebagai pemimpin kelas serta memberi mereka amanah dalam membantu guru dan rakan-rakan sekelas menjalankan tugasan harian dengan lebih teratur.


Seramai 14 orang murid telah dilantik sebagai ketua dan penolong ketua tingkatan, mewakili tujuh buah kelas di sekolah. Pelantikan ini telah disempurnakan oleh Penolong Kanan Pentadbiran, Puan Shanthi Latha, yang turut menyampaikan amanat kepada para pemimpin baharu agar menjalankan tanggungjawab mereka dengan penuh dedikasi dan rasa tanggungjawab.


Selepas sesi pelantikan, semua ketua dan penolong ketua tingkatan telah mengangkat akur janji sebagai simbolik kesediaan mereka untuk memimpin dengan amanah, disiplin, dan sikap kepimpinan yang baik. Semoga pelantikan ini menjadi satu titik permulaan bagi mereka untuk mengasah bakat kepimpinan serta berperanan sebagai contoh teladan kepada rakan-rakan yang lain.












































PROGRAM IHYA RAMADAN 2025

Program Ihya Ramadan di PPKI SMK Orkid Desa: Mendidik, Beramal, dan Memupuk Nilai Murni


Bulan Ramadan sememangnya waktu yang dinanti-nantikan, bukan sahaja sebagai bulan ibadah tetapi juga sebagai peluang untuk menyemai nilai-nilai murni dalam kalangan pelajar. Dari 3 Mac hingga 28 Mac, PPKI SMK Orkid Desa telah menganjurkan Program Ihya Ramadan, satu inisiatif yang melibatkan murid berkeperluan pendidikan khas dalam pelbagai aktiviti berkonsepkan amalan kebajikan dan kemahiran hidup.


Sepanjang program ini, murid-murid dari pelbagai kursus vokasional telah berganding bahu dalam menyiapkan pelbagai persiapan untuk menyambut Aidilfitri. Murid dari Kursus Vokasional KVS Pembuatan Roti menunjukkan bakat mereka dalam menyediakan kuih raya yang enak dan menarik. Sementara itu, murid dari Kursus Vokasional KV Tanaman pula kreatif dalam menghasilkan sampul raya yang unik. Murid yang mengikuti Kursus Asas Masakan tidak ketinggalan dalam menyediakan juadah berbuka puasa, menyemarakkan lagi suasana Ramadan dengan hidangan yang lazat. Akhir sekali, murid dari Kursus Vokasional KV Pembungkusan memainkan peranan penting dalam membungkus goodies raya untuk diedarkan kepada warga sekolah dan komuniti.


Program ini bukan sekadar satu aktiviti tahunan, tetapi lebih kepada platform untuk murid-murid memperkukuh kemahiran diri, bekerjasama dalam kumpulan, dan memahami nilai kepentingan memberi serta berkongsi rezeki. Dengan semangat Ramadan yang penuh keberkatan, Program Ihya Ramadan berjaya memberi pengalaman yang bermakna buat semua yang terlibat.